Permohonan Sijil Halal JAKIM Meningkat

KUALA LUMPUR: Terdapat peningkatan permohonan pensijilan Halal di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sejak Akta Perihal Dagangan 2011 dikuatkuasakan.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata sehingga 31 Disember lepas, sejumlah 6,877 dengan 4,373 permohonan berbayar diterima berbanding 4,099 pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,469 permohonan telah diluluskan berbanding 1,678 permohonan diluluskan pada 2011.

"Secara umum, ini menunjukkan bahawa pihak industri mulai sedar akan kepentingan dan keperluan memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia," katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 bagi akta itu berkuat kuasa mulai 1 Jan 2011 dan tamat pada 31 Disember 2012.

Othman berkata dari sudut pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang tahun lepas, Jakim memeriksa 1,437 premis makanan dengan 17 kertas siasatan mengikut akta itu dibuka, membabitkan 15 premis makanan dan dua kes produk.

Beliau berkata bagi setengah tahun pertama ini, tumpuan diberi kepada penggunaan logo halal swasta pada produk dan sehingga 14 Jan, sebanyak 44 pemantauan berkala serta penguatkuasaan dijalankan.

"Daripada jumlah itu, hanya dua kes disiasat di bawah akta merangkumi masing-masing satu premis makanan dan satu produk," katanya.

Othman berkata melihat kepada jumlah kes, pihaknya percaya kebanyakan pengusaha mematuhi arahan penggunaan sijil dan logo halal yang diiktiraf mengikut keperluan akta itu.

Beliau berkata sehubungan itu, Jakim yakin masalah pemalsuan sijil halal akan dapat diatasi.

"Di kalangan pemegang sijil halal, pihak industri dilihat lebih bersedia dan memahami tanggungjawab mereka dalam memastikan produk halal yang dibekalkan oleh mereka dari semasa ke semasa.

"Jakim juga berharap agar masyarakat dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat sekiranya berlaku penyalahgunaan sijil dan logo halal di pasaran," katanya. -BERNAMA

 

 

Extracts from/ Sumber: http://mstar.com.my